PERUTUSAN KETUA AUDIT NEGARA

AMANAT TAHUN BARU 2009 OLEH Y. BHG TAN SRI DATO SETIA HJ AMBRIN BIN BUANG (KETUA AUDIT NEGARA)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera

Alhamdullilah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan kita menyambut tahun baru 2009 dalam suasana aman dan tenteram. Pada tahun 2008, persekitaran audit telah diwarnai dengan perubahan-perubahan penting dalam politik dan ekonomi negara, dimana antara kesannya sektor awam dituntut supaya lebih ‘commited’ terhadap prinsip – prinsip akauntabiliti, ketelusan dan integriti dan memastikan penghayatan prinsip-prinsip ‘value  for money’ dan perbelanjaan berhemat. Warga Jabatan Audit Negara (JAN) pada keseluruhannya, telah berjaya membuktikan kerelevenannya sebagai satu institusi profesional yang sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara. Saya berharap, pada tahun 2009 ini, semua warga audit terus menzahirkan iltizam dan komitmen yang bersungguh-sungguh terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing.

2. 2008 tercatat sebagai tahun  bersejarah dengan terlaksananya sistem penarafan Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Sektor Awam dan telah diterima baik oleh semua pihak. Pada tahun 2008 juga, JAN telah memperkasakan aktiviti-aktiviti latihan yang merangkumi bukan saja peserta-peserta dari JAN, bahkan unit-unit audit dalam dan juga peserta-peserta antarabangsa. Di pihak Kerajaan pula, pemimpin-pemimpin sentiasa menekankan primustahaknya prinsip-prinsip integriti dan akauntabiliti di amalkan oleh anggota perkhidmatan awam. JAN pula telah diberi ruang dan peluang untuk menyuarakan idea dan pendapat untuk menambah baik lagi prestasi perkhidmatan awam.
3. Pada tahun 2009, organisasi JAN semakin kukuh berikutan daripada penstrukturan semula organisasinya melibatkan pertambahan 499 jawatan atau 30% daripada jumlah asal jawatan sebanyak 1620. Jawatan yang dapat diisi sebanyak 1602 atau 76.3%. ini merupakan satu tahap pengisian jawatan yang boleh dianggap tinggi dalam konteks agensi-agensi sektor awam yang lain. JAN juga telah diluluskan peruntukan belanja mengurus sebanyak RM150.8 juta dan peruntukan pembangunan sebanyak RM20 juta bagi tahun 2009 melibatkan pembinaan kompleks pejabat baru cawangan audit di beberapa buah negeri. Pokoknya, dari segi kuantiti sumber manusia dan kewangan, kita tidak menghadapi masalah. Yang menjadi cabaran kita bersama ialah kualiti kerja kita juga akan meningkat.

4. Dari segi pengurusan sumber manusia, akibat daripada wujudnya jawatan-jawatan kenaikan pangkat skim perkhidmatan pegawai audit sama ada di JAN sendiri ataupun di agensi-agensi lain, jumlah pegawai-pegawai yang berjaya dalam urusan memangku dan kenaikan pangkat ke gred jawatan yang lebih tinggi telah bertambah secara mendadak. Tempoh perkhidmatan seseorang pegawai berada di jawatannya adalah lebih singkat berbanding beberapa tahun sebelumnya. Saya berharap mereka yang terlibat mampu membuktikan keupayaan dan daya profesionalisme mereka memikul tanggungjawab yang lebih berat dengan menitikberatkan aspek-aspek kompetensi dan kerajinan (diligance). Selain itu, tahun 2009 menyaksikan beratus-ratus muka baru memulakan perkhidmatan mereka sebagai Juruaudit atau pegawai sokongan di semua sektor JAN. Kompetensi mereka sewajarnyalah merupakan sesuatu yang perlu di utamakan. Justeru itu latihan kepada semua lapisan warga kerja JAN akan di perhebatkan sepanjang tahun 2009. Pendeknya, pembangunan modal insan JAN akan menjadi agenda penting kita dalam misi bersama menghasilkan pengauditan yang berkualiti dan menjaga kebajikan warga audit.

5. Untuk menghadapi situasi ini, antara langkah jangka pendek yang diambil ialah mengatur siri kursus Leadership Organisation Management (LOM) di Akademi Audit Negara (AAN). Dalam jangka panjang, program pembangunan sumber manusia JAN perlu dirancang secara komprehensif. AAN perlu menyusun kursus-kursus generic  dan  functional secara seimbang. Oleh sebab kapasiti AAN adalah terhad maka Sektor Pengurusan dan Cawangan Audit Negeri (CAN) juga akan membantu merancang melaksanakan kursus-kursus  generic serta functional berkaitan dengan pengetahuan dan kemahiran bukan di bidang audit untuk pegawai-pegawai yang bertanggungjawab di bidang pentadbiran, kewangan, pengurusan sumber manusia dan ICT. Di samping itu kursus motivasi dan pengukuhan pasukan akan diteruskan. Kaedah pelaksanaan kursus adalah lebih fleksibel sama ada dikendalikan secara  inhouse, outsource  atau kolaborasi dengan institut latihan tempatan. Lokasi kursus juga dizonkan bagi memudahkan kumpulan sasaran menghadirinya dan dilaksanakan secara belanja berhemah atau ‘value for money’. Dalam hal ini, setiap CAN hendaklah mengenal pasti keperluan latihan pegawainya. Seperti mana ditetapkan dalam Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam, setia penjawat awam hendaklah menghadiri sekurang-kurangnya tujuh (7) hari kursus dalam tempoh setahun. Skop latihan tidaklah terhad kepada kursus-kursus yang dikendalikan di institut latihan secara formal tetapi ia juga merangkumi seminar, bengkel, ‘executive talk’, ceramah dan apa sahaja aktiviti yang menyumbang kepada peningkatan ilmu pengetahuan, kemahiran dan penerapan nilai-nilai positif.

6. Pegawai-pegawai JAN sentiasa digalakkan untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka melalui program sepenuh masa atau sambilan di IPTA dan IPTS tempatan. Dalam hal ini, kemudahan untuk mengambil cuti tanpa rekod oleh pegawai-pegawai JAN yang menghadiri peperiksaan bagi program pengajian sambilan di IPTA dan IPTS tempatan telah disediakan kemudahannya oleh JPA. Namun pegawai-pegawai JAN hendaklah memastikan bahawa kursus-kursus yang diambil hendaklah berkaitan dengan tugas mereka dan kursus tersebut dapat memberi nilai tambah kepada program dan aktiviti JAN. JAN juga akan bekerjasama dengan beberapa IPTA untuk mengujudkan kursus-kursus di peringkat Diploma dan Sarjana Muda yang boleh diikuti secara sambilan oleh warga audit.

7. Pelaksanaan Indeks Akauntabiliti (AI) pada tahun 2009 akan diperluaskan lagi di mana lebih banyak agensi Kerajaan akan diaudit untuk  star rating. Ia selaras dengan pengiktirafan pihak kerajaan terhadap sistem penarafan pengurusan kewangan mereka. Malah, YAB Perdana Menteri baru-baru ini telah menghargai inovasi JAN memperkenalkan AI. Justeru , pelaksanaan penarafan AI pada tahun 2009 hendaklah dibuat dengan sempurna.

8. Sebagai sebuah jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan sektor awam mencapai tahap kecemerlangan pengurusan kewangan dan akauntabiliti, maka warga kerja JAN sendiri mestilah cemerlang dan berakauntabiliti dalam melaksanakan tugas, mematuhi peraturan, menghayati nilai-nilai murni, kompeten, proaktif, kreatif dan berfikiran terbuka. Jika ciri-ciri ini dapat dipenuhi, saya percaya warga kerja JAN akan terus dihormati dan dimartabatkan sebagai pegawai contoh atau  role model. Inilah cabaran besar kepada kita semua dan harapan saya agar JAN benar-benar akan menjadi sebuah jabatan contoh yang disegani oleh agensi-agensi kerajaan yang lain. Jadikanlah ia sebagai satu azam tahun baru kita bersama dan kita bersama-sama berganding bahu menggembleng tenaga serta komitmen untuk merealisasikannya.
Selamat Tahun Baru 2009 dan selamat bertugas.
Wassalamualaikum wrn.wbkth.

TAN SRI DATO’ SETIA AMBRIN BIN BUANG

KETUA AUDIT NEGARA MALAYSIA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: